23 May 2013

Hukum MANDATORI Perogol Kanak-Kanak.



Oleh  : AMIN ISKANDAR
KUALA LUMPUR : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu Mahkamah Seksyen mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurus restoran berusia 40 tahun yang merogol kanak-kanak berumur 13 tahun di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan atau Mahkamah Syariah bagi kesalahan persetubuhan haram di bawah seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.
Menurut KPWKM, ini bertujuan untuk memelihara kepentingan umum dan mengelakkan perkara yang sama berulang pada masa akan datang.
"Sebagai negara pihak (state party) kepada dua konvensyen antarabangsa yang diratifikasi pada tahun 1995, iaitu Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDEW) dan konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi, keganasan dan penderaan dari segi aspek fizikal, mental, emosi dan psikologi," kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dalam satu kenyataan hari ini.
"KPWKM melahirkan kebimbangan fenomena perkahwinan ini dijadikan alasan untuk melepaskan diri seseorang daripada pendakwaan rogol bawah umur di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan," tambah beliau lagi.
Awal hari ini Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) mengatakan akan meneruskan pendakwaan terhadap Riduan Masmud yang didakwa sebelum ini melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak berumur 13 tahun itu.
Kes itu sebelum ini digugurkan selepas mangsa berusia menarik balik laporan polis yang dibuatnya di Sabah.
"Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat kenyataan terbuka hari ini yang bertentangan dengan pendapat kami. Selalunya, kami tak akan cakap sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi dalam kes ini, anda memaksa saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip tertentu, dan saya tiada pilihan kerana isu ini perlu dihentikan.
"Ini bukan satu kes yang mudah. Tolong faham dan biar kami selesaikan siasatan, berilah kepercayaan kepada kami untuk selesaikan tugas kami. Saya hanya boleh beritahu anda bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian rogol membabitkan kanak-kanak, namun pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan keadilan ditegakkan," katanya kepada pemberita hari ini.
Riduan Masmud, bapa empat anak, didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika kes sedang berjalan.
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.
Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chaw Siang Kong memberitahu mahkamah pada Isnin lepas bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji semula kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Abdul Gani juga berkata terdapat isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai 'Sogit', iaitu satu bentuk pampasan di bawah undang-undang anak watan atau adat Sabah.
Bagaimanapun, Abdul Gani berkata beliau dimaklumkan bahawa tiada peraturan sedemikian di bawah undang-undang berkenaan daripada Mahkamah Adat, dan sehubungan itu, satu pasukan kecil khas dibentuk bagi menyiasat isu berkenaan.

0 comments

Post a Comment

JOM KLIK IKLAN

Blog Archive