24 May 2013

Pelajar Wanita Terkejut Memiliki Empat Organ Buah Pinggang!

Seorang pelajar wanita di London yang menjalani pembedahan pada satu buah pinggangnya terkejut apabila diberitahu dia sebenarnya memiliki empat organ berkenaan.



Jessica Curphey, 20, dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesakitan melampau pada bahagian kanan pinggangnya.

Hanya beberapa minggu sebelum ini, doktor mengesan berlaku jangkitan pada air kencingnya dan dia diberi antibiotik.

Bagaimanapun, imbasan di Hospital St Helier di Surrey menunjukkan ada imej ‘gelembung’ sebesar 17 sentimeter pada buah pinggang kanannya.

Sebelas hari kemudian, ujian lanjut menunjukkan gelembung itu sebenarnya adalah buah pinggang kedua di bahagian kanan Jessica.

Namun, ia telah rosak dan mesti dibuang.

Ketika pembedahan membuang buah pinggang rosak itu dijalankan, doktor terkejut apabila mendapati ada satu lagi buah pinggang lain.

Jurucakap hospital berkata, penemuan itu menjadikan Jessica sebenarnya memiliki empat buah pinggang.

“Kejadian begini sangat jarang berlaku,” katanya. Selepas berjaya menjalani pembedahan membuang buah pinggang rosak itu Jun tahun lalu, Jessica kini aktif dalam kegiatan amal bagi mengumpul dana untuk badan kebajikan.

Kata Jessica, sebelum ini dia tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi apabila dimaklumkan memiliki empat buah pinggang. “Kini agak seronok melihat reaksi orang lain apabila saya memberitahu saya ada buah pinggang tambahan,” katanya ketika ditemui.

-Daily Mail

0 comments

Post a Comment

JOM KLIK IKLAN

Blog Archive