17 Jun 2013

Giler! Rancangan Membina Penempatan Manusia Di Planet Marikh

Selain menerbangkan robot peninjau ke Marikh, sampai ke hari ini belum ada agensi angkasa berani melakukan misi menghantar manusia ke planet merah itu.


Gambaran artis keadaan penempatan manusia di Marikh.

Bagaimanapun, seorang bilionare telah membuat kenyataan mengejutkan apabila merancang untuk membina penempatan masa depan di planet Marikh bagi beribu-ribu penjelajah angkasa lepas.

Bilionaire berkenaan, Elon Musk, pengasas sistem pembayaran Internet, PayPal berhasrat untuk membina sebuah bandar sebesar Phuket di planet tersebut untuk 80,000 orang penjelajah.

Beliau mengumumkan rancangannya itu semasa ceramah di Persatuan Aeronautik Diraja di London pada 16 November 2012 yang lalu.

Elon Musk

Musk yang juga Ketua Pegawai Ekslusif SpaceX merupakan usahawan Amerika Syarikat paling dihormati kerana bertanggungjawab mewujudkan SpaceX, sebuah syarikat pengangkutan angkasa.

Jutawan berusia 41 tahun ini telah memiliki roket Falcon 9 untuk kegunaan membawa kargo Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.

Beliau bercadang untuk menghantar manusia ke Marikh menggunakan roket dan bayarannya ialah $500,000 US dolar setiap seorang.

Di Marikh, manusia boleh memulakan tamadun baru secara berdikari dan berkembang menjadi sebuah koloni yang besar. Tamadun baru itu kelak akan dibekalkan dengan teknologi canggih dan terhad kepada golongan vegetarian sahaja.

Bunyinya seperti dalam cerita sains fiksyen. Tapi, bolehkah idea ini direalisasikan menjadi realiti?

Umum mengetahui keadaan di planet Marikh dan Bumi adalah tidak sama. Suhu sejuk di Marikh sangat ekstrem iaitu -46 darjah selsius hingga -87 darjah selsius. Atmosferanya pula lebih nipis, malah tekanan udaranya juga tidak tinggi berbanding Bumi. Masalah yang dihadapi ialah bagaimana hendak menaikkan suhu di planet tersebut supaya tidak terlalu sejuk.

Justeru, keadaan ini harus diubah dan dikaji sedalamnya sebelum manusia ke sana.

Terdapat satu cadangan untuk mengubah iklim di Marikh dengan cara paling mudah iaitu dengan mencairkan kutub ais di sana. Kaedah ini dipanggil sebagai 'terraforming'. Gabungan daripada dua patah perkataan iaitu 'terra' bermaksud Bumi dan 'forming' bererti pembentukan.

Apabila kutub ais berubah menjadi cecair, proses penyejatan wap air akan berlaku. Wap-wao air kemudian terangkat ke atmosfera Marikh. Atmosfera yang tebal lebih mudah memerangkap haba. Lama-kelamaan suhu planet tersebut berubah dan menjadi lebih panas.

Turut dicadangkan juga beberapa cara lain untuk menaikkan suhu iklim di Marikh. Antaranya, membebaskan klorofluorokarbon (CFC) dan gas rumah hijau dalam kuantiti yang besar. Kaedah ini diyakini dapat mengekalkan pemanasan dan pembentukan atmosfera di sana.

Apabila keadaan sudah cukup sesuai, barulah tumbuh-tumbuhan dihantar ke sana. Kenapa tumbuh-tumbuhan? Kerana komposisi planet Marikh kebanyakannya ialah karbon dioksida. Dengan menghantar tumbuhan hijau diyakini akan dapat menambahkan lagi oksigen di sana.

Itu secara kasar bagaimana jutawan terbabit merancang mengubah iklim dan landskap planet untuk menjadikannya lebih mesra kepada kehidupan seperti di Bumi.

Apa yang dirancang ini, dari segi teknologinya memang boleh dibuat. Cuma, timbul isu etika dan tanggungjawab di sini iaitu sama ada patut atau tidak kita mengubah planet Marikh semacam itu.

Sebabnya, sekali kita memilih untuk mengubah planet Marikh sedemikian rupa, ia tidak boleh diputar-balik dan akan kekal begitu selama-lamanya.

Setakat ini, NASA belum ada misi menghantar manusia ke Marikh, melainkan cuma menghantar robot peninjau ke sana. Pendek kata, kita masih berada pada tahap meninjau sahaja keadaan geografi dan atmosfera Marikh. Belum sampai lagi ke tahap meneroka dan tinggal di sana. Ini kerana perjalanan untuk ke Marikh mengambil masa yang lama iaitu enam bulan pergi dan enam bulan kembali ke Bumi. Perjalanan jauh seperti ini sudah tentu memberi kesan kepada psikologi.

80,000 orang untuk ke Marikh bukan satu jumlah yang sedikit. Bagaimana dengan makanan dan sisa buangan mereka? Sekiranya puluhan ribu orang itu terhad dengan hanya memakan sayur-sayuran, masakan selama hidup di sana hanya makanan itu yang dimakan. Selain sayur, manusia juga memerlukan protein. Dan sayuran yang dimakan hasil tanaman di sana belum tentu nutriennya sama dengan tumbuhan di Bumi.

Justeru, kenapa kita harus ke sana? Apakah yang akan kita lakukan apabila di sana nanti? Adakah kita akan memelihara planet tersebut sebaik atau lebih baik daripada menjaga kesejahteraan Bumi sendiri?


Bagaimana kita hendak menjamin untuk tidak merosakkan atau melakukan pencemaran yang sama seperti mana terjadi di Bumi?

Sedangkan manusia di Bumi mengalami banyak masalah untuk mengekalkan kesejahteraan alam sekitar, apatah lagi di planet lain.

Inilah cabaran utama yang perlu ditempuh sebelum generasi akan datang dapat menikmati perjalanan dan memilih untuk menetap di marikh.

-SP

0 comments

Post a Comment

JOM KLIK IKLAN

Blog Archive