14 Aug 2013

Beruntunglah Manusia Yang Bijak Menjaga Masa

Kita dikurniakan matahari dan bulan yang sama. Mengharungi jumlah pusingan jam dan hari yang sama. Tetapi mengapa ada orang yang dapat melakukan suatu pekerjaan yang hebat dan ada pula yang sentiasa mengeluh tidak punya cukup waktu untuk menyelesaikan urusannya. Hakikatnya, tiada manusia yang punya cukup masa melainkan mereka yang bijak mengurus masa. Masa bukanlah emas atau pedang, tetapi masa adalah kehidupan. Allah telah mengingatkan kita dalam nukilan firman-Nya yang bermaksud, “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr:1-3)



Firman Allah ini jelas membuktikan kebijaksanaan dalam mengurus masa mampu memberi kesan yang terbaik dalam kehidupan manusia. Tidak ada gantinya bagi masa yang telah berlalu kerana masa yang akan datang adalah masa yang berlainan. Sesungguhnya kita telah menzalimi diri sendiri apabila membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Dalam sehari, mari kita hitung bagaimana 24 jam itu dibahagikan? · Bilakah masa beribadah kepada Allah? · Bilakah masa bersama keluarga? · Bilakah masa bekerja? · Bilakah masa bersama masyarakat? · Bilakah masa belajar? · Bilakah masa makan? · Bilakah masa berehat?

Akhirnya, apakah jawapan yang kita peroleh? Alangkah ruginya jika sepanjang 24 jam itu hanya dihabiskan untuk berehat dan bersenang-lenang semata-mata. Adakah berbaloi rehat yang kita ambil tanpa melakukan sebarang kemanfaatan? Oksigen yang Allah berikan secara percuma tanpa perlu bayar walau satu sen pun ini, bukanlah untuk disedut begitu sahaja. Allah pinjamkan bekalan oksigen supaya kita dapat hidup dengan sejahtera dan melangsaikan segala amanah yang telah kita janjikan dengan sebaiknya.

Hakikatnya, musuh yang paling utama dalam pengurusan masa adalah tabiat suka bertangguh. Sebagaimana kata Ibnu Umar, “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada pada waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.”

0 comments

Post a Comment

JOM KLIK IKLAN

Blog Archive