14 Aug 2013

Keunggulan Memiliki Akidah Yang Sejahtera

Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT semestinya manusia memerlukan suatu dasar dan peraturan hidup yang akan membentuk disiplin, kemantapan iman serta ketaqwaan seseorang bagi memandunya menuju keredhaan Allah SWT.



Berpaksikan fakta ini, tentunya akidah Islamiyah sahaja yang memiliki kemampuan demikian dan membuatkan manusia mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah SWT. Islam sebagai ad-Din atau cara hidup memiliki peraturan dan pegangan yang mampu membangunkan sistem kehidupan manusia kepada suatu ketamadunan yang tinggi.

Sejarah membuktikan, dengan keunggulan ajaran dan aqidah Islam telah membentuk tamadun yang hebat suatu ketika dahulu. Hal ini kerana, potensi semula jadi manusia jika dimantapkan dengan bekalan ilmu yang dimiliki, mampu dikembangkan dengan baik sekiranya berteraskan akidah kepada Allah SWT. Sebaliknya, krisis nilai akan berlaku apabila pemikiran dan pegangan manusia dibangunkan dengan keruntuhan akhlak dan tidak berpaksikan kepada peraturan serta disiplin berteraskan akidah Islam.

Keruntuhan tamadun akan berlaku apabila manusia tidak berpegang sepenuhnya kepada Islam sebagai ad-Din. Akidah, syariat dan akhlak adalah saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Jika diumpamakan seperti sebatang pokok, akidah sebagai akar umbi, syariat merupakan dahannya dan akhlak adalah sebagai buahnya.

Natijah daripada memiliki akidah yang sejahtera akhirnya akan berjaya membentuk manusia yang benar-benar hidup sebagai seorang Muslim sejati.

0 comments

Post a Comment

JOM KLIK IKLAN

Blog Archive