27 Aug 2014

'Tutuplah' Telefon Dan Tablet Untuk Seketika ~Selamat Hari Raya Aidilfitri

Kurang 48 jam, umat Islam akan menyambut perayaan Eidulfitri tanda habisnya puasa sebulan sebagai menyambut kemenangan yang dikecapi sepanjang beribadah di Ramadan.



Syawal yang tiba pastinya menggembirakan apabila sanak saudara dan sahabat handai saling kunjung mengunjungi merapatkan ukhuwah sesama insan sambil menyusun jari bermaafan lebih-lebih lagi jika bertahun-tahun tidak berjumpa.

Tetapi, ketika zaman digital, ramai yang gemar menghantar mesej raya di Facebook atau Twitter atau laman sosial lain sehingga lupa untuk berjumpa secara berdepan untuk bermaafan yang sepatutnya dilakukan.

Tidak salah juga untuk mengambil masa mengunjungi rakan Facebook atau Twitter secara berdepan dan bertentang mata ketika musim perayaan yang lebih memberi makna secara peribadi.

Begitu juga jika kita balik ke kampung, kalau anda tonton iklan raya Maxis, anda boleh saksikan bagaimana seorang budak menyorokkan router wifi semata-mata mahu seorang saudaranya bermain bersama dan tidak hanya mengadap telefon sepanjang masa. Ambillah iktibar dari iklan tersebut.

Raya disambut supaya kita juga meluangkan masa berbual, berkenalan dan mengambil berat ke atas orang lain dan bukan hanya mementingkan telefon saja.

Kadang-kadang, anda boleh menaip beratus ayat di Facebook, menghantar beribu tweets tetapi apabila bertemu dengan manusia sebenar, diam seribu bahasa. Kalau kita aktif di media sosial, aktifkan juga diri kita dalam bermasyarakat dan berkeluarga.

Kajian mendapati, Malaysia berada di tangga ke-25 di dunia, rakyatnya menggunakan internet dengan kumpulan terbesar mereka berusia 19 tahun ke bawah, iaitu 24.7 peratus. Sepertimana iklan Maxis tadi, golongan muda adalah golongan yang ramai menggunakan laman sosial tetapi mereka juga dikhuatiri menjadi pendiam di dunia sebenar.

Sepatutnya, teknologi membantu komunikasi dan bukan menjadi penghalang kepada komunikasi antara manusia. Tidak dinafikan kepesatan teknologi menyebabkan individu tidak dapat melarikan diri daripadanya, tetapi jangan sampai keghairahan menggunakan teknologi ini untuk berkomunikasi dikhuatiri akan menyebabkan penyampaian mereka dalam komunikasi dua hala menjadi lemah.

Takut-takut ia mengubah pandangan masyarakat mengenai komunikasi kemanusiaan yang berperanan penting dalam perhubungan manusia.

Jadi, sempena musim perayaan yang bakal menjelang, 'tutuplah' telefon dan tablet untuk seketika, pergilah berbual dengan pakcik, makcik, abang, kakak, adik, sepupu, sanak saudara dan yang penting kedua-dua ibu bapa. Ia lebih bernilai dari Facebook atau Twitter anda. [Sumber]


Kami dari Beritahangit.blogspot.com mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Buat semua..

0 comments

Post a Comment

JOM KLIK IKLAN